Friday 10 August 2012

Selamat Hari Raya

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFTi

Hai semua? Maaf ye sebab saya dah lama tak tulis blog... Baru hari ini ada masa untuk update blog...Apapun Saya mahu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua orang Islam Di Malaysia..
 Maaf Zahir & Batin...







Berhari Raya Mengikut Sunnah

Eidulfitri merupakan hari kita bersuka ria dan menzahirkan kegembiraan. Ia membawa makna kembali kepada fitrah. Fitrah maknanya bersih dan yang bersih itu adalah hati yang sudah dididik oleh tarbiah (pendidikan) Ramadhan. Maka dengan erti kata lain, tujuan kita berhari raya ialah bagi meraikan kejayaan kita berpuasa di bulan Ramadhan dalam masa yang sama mengekalkan momentum tarbiah Ramadhan yang mana maqsad (tujuan) utamanya iaitu menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah S.W.T.
Eidulfitri Yang Di Tuntut

Sebagaimana yang ditegaskan bahawa puasa disyariatkan bagi mencapai maqsad taqwa. Maka sambutan hari raya mestilah selari dengan apa yang dituntut oleh syarak. Anas r.a menceritakan:

“ Ketika Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah, ada dua hari raya yang disambut meriah oleh penduduknya. Maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menggantikan untuk kamu dua hari yang lebih baik daripada itu, iaitu Eiduladha dan Eidulfitri. " (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa'i)

Jelas di sini, bagi umat Islam bukan ia sekadar satu perayaan, adat atau budaya. Ianya juga bukanlah hari yang direka-reka oleh manusia. Ia merupakan anugerah Allah S.W.T sebagai tanda kasih dan rahmat-Nya kepada semua hamba-Nya yang taat serta ikhlas menjalankan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Apa yang menyedihkan kita sekarang ialah segelintir daripada manusia melakukan banyak kesalahan dalam menyambut hari raya. Malah ramai yang tidak mengerti apa sebenarnya tujuan mereka merayakannya. Lebih teruk, kegembiraan yang sepaturnya diraikan dalam suasana ibadah bertukar menjadi menderhakai Allah s.w.t.


Amalan Eidulfitri Mengikut Sunnah


Bertakbir.

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal suatu amalan yang disyariatkan. Takbir ini bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) pada malam hari raya pertama dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam mula berkhutbah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185)


Lafaz ucapan selamat

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

“Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalallahu minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”


Meneruskan qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadhan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadhan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam hari raya sahaja. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadhan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadhan.


Memakai pakaian yang indah

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang nipis, menampakkan susuk badan dan bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menjerumuskannya ke dalam kemungkaran. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah S.A.W:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, (untuk menarik perhatian) dia adalah (ibarat) penzina." (Hadis riwayat al-Nasaai)

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menarik perhatian lelaki hanyalah khusus untuk suaminya.


Mengerjakan Solat Sunat Eidulfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Eidulfitri adalah perlaksanaan solat sunat Eidulfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya (pertama) Eidulfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." ( Hadis riwayat al-Bukhari)

Namun, jika anda masuk ke masjid, wajarlah menunaikan solat dua rakaat tahiyyatul masjid. Merujuk kepada hadis di atas, Baginda S.A.W menunaikan solat hari raya di tanah lapang, bukan di masjid Baginda S.A.W.


Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." – (Hadis riwayat Muslim)

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Kiraan setahun adalah setelah mengambil kira 30 hari berpuasa dalam bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kepada setiap amalan soleh akan digandakan sepuh pahala oleh Allah S.W.T. 30 hari Ramadhan ditambah 6 hari digandakan dengan sepuluh akan menghasilkan 360 hari iaitu julah hari untuk satu tahun.

Hadis ini menjadi penguat bahawa Syawal yang datang menjadi pelengkap kepada penyempurnaan Ramadhan yang sebelumya kita lakukan dalam usaha mencapai ketaqwaan kepada Allah S.W.T

Terdapat banyak lagi perkara-perkara sunat yang dilakukan ketika menyambut hari raya ini seperti berjalan kaki ke masjid untuk bersolat raya, mandi di pagi raya, dan makan sebelum menunaikan solat raya.


Penutup

Kesimpulannya, Syawal menjadi penerus kepada maqasid puasa dan ibadah-ibadah lain dalam Ramadhan. Maka kita seharunya menyambut hari raya dalam keadaan tunduk, patuh, penuh keinsafan dan bertakwa kepada Allah S.W.T. Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut hari raya Eidulfitri menurut al-Quran dan al-Sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, hari raya yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya 
 

Wednesday 13 June 2012

Siasat Dahulu Cerita Itu!


Komputer yang sedia ada untuk digunakan memang dimanfaatkan habis-habisan oleh saya. Seperti biasa, saya melayari laman Facebook pada hari ini. Jenguk notification, page-page menarik serta groups yang bermanfaat. Dan seperti biasa, saya melihat status kawan-kawan di Facebook, tekan 'Like' dan sebagainya. Tiba-tiba...
...saya jadi termenung sendirian di hadapan komputer. Iyalah, melihat satu status daripada seorang sahabat (padahal tak pernah tegur pun) membuatkan saya terpana seketika. Statusnya berbunyi begini:
''Setitik air mata perempuan yang jatuh kerana lelaki yang disayanginya, lelaki itu akan disebat dengan tulang rusuk perempuan sebanyak 100 kali di akhirat kelak. Maka janganlah kamu wahai kaum lelaki membuatkan perempuan menangis keranamu.''
Laras bahasanya bagai teks yang terdapat dalam kitab atau buku agama, tetapi apabila melihat kembali kepada isi kandungan ayat tersebut, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Malah, apabila dirujuk siapa penulis asalnya pun tidak diketemukan. Hal ini saya kira penting, terutamanya apabila melibatkan soal hukuman sebat 100 kali di akhirat.
Pentingnya penelitian
Bukan hendak menyalahkan seratus peratus kepada insan yang menyebarkan, tetapi harus 'kita' sebagai penyebar, mengambil berat atas setiap perkara yang hendak di'share' dan dikongsikan, supaya maklumat yang sampai itu kita yakini kebenarannya.
http://www.iluvislam.com/pic/1media/img_0251.jpg
Sikap yang MESTI ada pada setiap Muslim adalah sentiasa memastikan setiap berita, khabar, cerita dan maklumat yang sampai kepadanya itu benar-benar berlaku. Perkara ini penting bagi mengelakkan AKIBAT yang akan datang setelah berita itu tersebar luas seperti fitnah dan tindakan serta maklum balas yang salah:
"Aku ada something nak habaq kat hang nih.''
''Apa dia? ''
''Hang tau dak blablabla....''
Ok, dengar dan siasat!
Ada baiknya kita meneliti ayat Al-Quran ini;
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman (maksudnya):

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut."
(Surah al-Hujurat 49: Ayat 6)

Bercakap tentang hal mengambil berat 'amanah' yang perlu dipikul dalam membawa sesuatu perkhabaran, mari kita lihat dari segi ilmu hadis. Terdapat satu bidang atau cabang ilmu yang penting dalam menentukan status perawi (penyampai) hadis iaitu Jarh wa ta'dil. Ilmu ini penting untuk mengetahui kedudukan sesuatu hadis dan dengannya, dapat menjaga kesahihan agama Allah dan Sunnah Nabi daripada sebarang tindakan menyeleweng dan sebagainya.
Kriteria yang ditetapkan oleh ulama untuk menerima kesaksian seorang perawi sangat ketat dan mustahil untuk disangkal. Seharusnya, dalam menilai sesuatu cerita juga, kita perlu melihat kepada 'siapa' yang menyampaikannya. Adakah dia ini seorang yang pelupa? Adakah dia ini seorang yang tidak boleh dipercayai?

Memang digalakkan untuk kita saling berkongsi dalam setiap perkara kebaikan, cuma kita harus mengambil sikap 'berhati-hati' dalam setiap perkara dan khabar yang kita terima. Peringatan untuk diri dan teman-teman.

Tuesday 12 June 2012

Tips Diet Untuk Kekal Muda

Adakah makanan yang anda makan membuatkan anda menghadapi simptom-simptom penuaan seperti selalu letih, pelupa, dan sengal-sengal badan? Berikut dikongsikan beberapa panduan untuk membantu anda kembali berasa muda dan kelihatan muda.

Tentu ada di antara kita yang menjangkakan sesetengah perubahan mental dan fizikal yang berlaku terhadap diri mereka adalah disebabkan umur yang makin meningkat. Ramai juga di antara mereka yang lupa bahawa makanan harian yang di makan atau tidak di makan juga boleh mempercepatkan proses penuaan tersebut sebelum tiba masanya.

Salah satu faktor yang paling mudah ialah makanan diproses atau makanan segera. Makanan seperti ini biasanya mengandungi kalori yang sangat tinggi dan sangat kurang zat seperti B12 dan Omega-3s.
Ketidakseimbangan makanan seperti ini yang menyebabkan berlakunya simptom-simptom penuaan yang biasanya dianggap sebagai kesan peningkatan umur oleh sesetengah pihak. Sekiranya anda salah seorang yang mengalami simptom penuaan seperti keletihan dan pelupa ini, anda bolehlah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat samada mengubah diet anda atau menambah supplemen yang boleh membantu anda untuk berasa dan kelihatan muda.

1. Anda selalu berasa letih dan kurang bertenaga?

Anda mungkin memerlukan lebih  vitamin B12. Vitamin ini boleh didapati di dalam makanan yang berasaskan haiwan. Vitamin ini membantu menyelia penghasilan metabolisma dan tenaga serta merupakan salah satu kunci untuk mengekalkan kesihatan otak dan sistem saraf yang baik. Keletihan merupakan tanda-tanda kekurangan vitamin B12 yang biasanya berlaku kepada mereka yang kurang makan makanan yang mengandungi protein haiwan. Pengambilan antasid untuk mengurangkan pedih ulu hati dan gastrik juga boleh menyebabkan kekurangan vitamin B12 kerana ia menganggu penyerapan B12 ke dalam badan.

Bagaimana untuk mengetahui yang anda kekurangan vitamin B12? Sekiranya anda kurang makan daging atau produk tenusu atau tidak mengambil supplemen B12, anda tidur 7 – 8 jam setiap malam, dan anda seorang yang aktif, jadi kekurangan tenaga anda adalah berpunca dari kekurangan vitamin B12 di dalam badan. Oleh itu anda perlu menambah pengambilan produk tenusu kurang lemak seperti yogurt dan juga makanan lain seperti ikan, ayam dan daging.

2. Anda selalu mengalami sakit-sakit sendi?

Anda mungkin memerlukan lebih zat mangan dan kuprum. Ini adalah kerana kedua-dua zat ini diperlukan untuk mengekalkan kesihatan sendi rawan dan fleksibiliti badan. Pengambilan supplemen zat ini boleh mengurangkan kesakitan sendi yang anda alami.

Apakah makanan yang kaya sumber zat mangan dan kuprum ini? Kekacang, daging, dan sayur bayam merupakan sumber yang baik untuk zat ini tetapi anda ia tidak akan mencukupi sekiranya anda hanya makan makanan tersebut. Oleh itu anda disarankan untuk mengambil supplemen bagi memperolehi zat yang cukup untuk mengelakkan dan mengurangkan kesakitan sendi yang anda alami.

3. Anda selalu dan mudah terlupa?

Anda mungkin memerlukan lebih omega-3, sejenis asid lemak yang diperlukan oleh badan. Asid lemak ini diperlukan dalam membina otak yang sihat. Jika anda tidak mendapatkan zat ini dengan secukupnya, otak anda akan menjadi lemah dan fungsi otak juga terjejas termasuk memori atau ingatan anda. Tetapi bukan sahaja omega-3s yang penting, keseimbangan di antara omega-3s dan omega-6s juga adalah sangat penting. Diet harian kebanyakan daripada kita terlalu banyak mengandungi omega-6s yang terdapat dari makanan yang diproses tinggi atau makanan segera. Oleh itu, semakin banyak omega-6s yang terkandung dalam makanan anda, semakin tinggi jumlah omega-3s yang anda perlukan untuk mencapai keseimbangan.

Bagaimana untuk mengetahui yang anda kekurangan omega-3s? Cuba lihat semula apa yang anda makan setiap hari. Sekiranya anda tidak makan ikan, kekacang dan kebanyakan lemak yang anda makan adalah dari sumber daging semata-mata, anda sememangnya tidak mendapat zat omega-3s ini.
Oleh itu, anda perlulah mengurangkan pengambilan makanan yang diproses atau makanan segera seberapa banyak yang boleh dan masak makanan anda dengan menggunakan minyak zaitun. Selain itu, ikan salmon dan ikan sardin juga antara sumber omega-3s yang baik. Anda juga bolehlah menambah pengambilan bijirin dan serat serta kekacang seperti kacang almond seterusnya menambah pengambilan zat omega-3s ini di dalam badan.

4. Tekanan darah anda semakin meningkat?

Anda mungkin memerlukan lebih zat potassium. Kekurangan zat potassium ini di dalam badan akan meningkatkan kesan toksin yang terdapat dari makanan yang mengandungi kandungan garam yang tinggi. Kebanyakan makanan diproses mengandungi sodium yang tinggi tetapi tidak untuk zat potassium. Lebih memburukkan apabila buah pinggang anda cuba untuk mengeluarkan kandungan garam ini dari badan anda, anda akan kehilangan lebih banyak zat potassium pada masa yang sama. Ketidakseimbangan inilah yang merosakkan saluran darah seterusnya meningkatkan tekanan darah anda.

Pemakanan yang sihat boleh menyembuhkan penyakit seperti ini. Oleh itu, anda hendaklah mengurangkan pengambilan sodium dan makan lebih kurang 4 – 5 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Untuk suplemen, anda bolehlah berbincang dengan doktor untuk mengetahui supplemen potassium yang tidak memberi kesan sampingan.
Berdasarkan faktor-faktor yang dikongsikan di atas, jelaslah bahawa corak pemakanan seharian kita merupakan sesuatu yang sangat penting untuk kesihatan seluruh anggota badan. Selain itu, ia juga jelas menunjukkan bahawa makanan yang diproses atau makanan segera ini merupakan antara faktor utama terjadinya pelbagai penyakit yang menyerang tubuh kita. Oleh itu, amalan pemakanan yang sihat adalah sangat disarankan untuk mendapatkan kesihatan yang baik.
Ingat, tubuh badan kita ini bukanlah untuk digunakan dalam jangka masa setahun dua tetapi untuk sepanjang hayat kita.

Yang bertudung Bukan Pilihan, Yang Menutup Aurat Jadi Idaman

Bismillahirahmanirahim
" Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung !"
" Haa? Kenapa?"
" Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat."

Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki. Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan RasulNya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.
Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna.

Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.

Hayati kembali perintah Allah ini;
ا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[33:59]

 
Faktor inilah yang menyebabkan lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri. Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang 'bertudung tapi mendedahkan aurat'. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau tidak dilayan.

Bagaimana pula dengan wanita yang langsung tidak bertudung ? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan yang bertudungpun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya.
" Cerewet sungguh orang-orang mukmin!"
Ya.. memang cerewet ! hehee..

Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih.
Begitulah juga dengan orang-orang mukmin. Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka akan hilanglah bahagia dikemudian hari.
Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua ;

"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW ketika di tanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah menjawab,

" Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci."
[Riwayat Abu Daud dan Nasai]
Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat dikhalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?
Cuba fikirkan sejenak..

Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga.

" Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara sempurna, apa boleh buat.. memilih-milihpun tiada guna."

Ya.. Jodoh memang sudah ditentukan oleh Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan menzalimi hambaNya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hambaNya.

Lelaki baik yang beriman pasti akan berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Demikianlah perempuan yang tidak mentaati Allah dengan menjalankan Islam secara sepenuhnya akan berkahwin dengan lelaki yang berperwatakan sepertinya. Itu janji Allah!
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
[24:26]
Maka, sebagai wanita..
Periksalah diri anda.. Tutuplah aurat dengan sempurna.
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan RasulNya.
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita,
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa diri kita di sisi Allah..
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan sikap pasangan kita kemudian hari.

Cinta, Oh, Cinta


Cinta itu fitrah. Sering kita ungkap, sering kita singkap betapa besar perasaan cinta. Cinta juga apabila ditanya maksudnya, akan timbul pelbagai definisi dari setiap orang yang membicarakannya. Ya, cinta itu sifatnya suci dan kalam. Namun, kita sebagai manusia yang mencacatkan cinta. Apabila ditanya, cinta apa yang utama, ramai atau mungkin semua akan katakan, 'cinta kepada Allah'.
Tepat sekali.

Namun, ramai yang tahu secara tepat, tapi tidak faham secara jelas. Cinta utama sudah pasti cinta kepada Allah. Mari kita muhasabah diri bersama-sama. Sebagai contoh, jika kita mendapat panggilan daripada kekasih daripada mendengar azan dari masjid, yang mana kita utamakan? Atau bila diajak untuk keluar bersama pasangan daripada menunaikan solat, mana yang kita dahulukan? Ataupun bila diajak membuat kebaikan daripada mencari habuan atau ganjaran dunia, yang mana kita lakukan? Tepuk dada, tanya iman.

Kita manusia mampu berkata-kata, mampu bersandiwara. Kita terbabas dari realiti dan lebih mengejar fantasi kehidupan berbanding mencari husnul khotimah. Ingatlah, diri kita (manusia) tanpa rahmat Allah ibarat tin kosong yang berkarat. Sungguh, lihatlah cinta itu pada mata hati bukan pada pancaindera dan rasa semata-mata kerana terdapat nikmat iman jika kita mencintai Allah dan Rasul melebihi segalanya. Teliti dan fahami maksud hadis berikut:

Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga hal yang barangsiapa mengamalkannya, maka dia dapat menemukan manisnya iman, iaitu orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi daripada yang lain; mencintai yang lain kerana Allah; tidak suka kembali pada kekufuran (setelah Allah menyelamatkannya) sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam api neraka.' (Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa'i, Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Masih belum sempurna iman seseorang daripada kalian sebelum diriku lebih dicintai oleh daripada hartanya, anaknya, dan seluruh manusia." (Riwayat al-Nasa'i)
http://www.iluvislam.com/pic/1life/love-allah.jpg
Jalan mencari cinta
Jalan cinta bukan mudah. Akal dan pemikiran muda mudi kini sering kali disesakkan dengan ideologi dan kata-kata indah tentang wujudnya 'cinta islamik' sebelum berkahwin. Sedarlah, tiada cinta sebelum nikah. Andai kata kita mengucapkan rasa cinta kepada seseorang yang tiada ikatan yang sah sudah pasti bakal mengundang zina hati atau fitnah tanpa disedari. Ungkapan 'aku mencintaimu kerana Allah' dijadikan satu alasan untuk meng'halal'kan cinta mereka semata-mata. Jadi, pilihan ada pada kita semua.

Mari kita selami hadis ini: "Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang syahid." (Riwayat Hakim, Ibn Asakir, al-Dailami dan lain-lain)

Amat besar nikmat cinta jika yang dicari demi mendapat keredhaan Ilahi. Inilah perjalanan kehidupan, cinta mencipta seribu satu persoalan. Cinta Ilahi adalah segalanya. Cinta kerana Allah akan sampai ke penghujungnya. Biar dirasai kepahitan dalam mencari cinta agar mendapat kemanisan hikmah di sebalik kisah cinta.

Aspek memilih cinta

Sebagai seorang Muslim, iman dan taqwa jadi pegangan. Al-Quran wajib dijadikan pedoman dan ditegakkan serta as-sunnah mesti dijadikan ikutan. Begitulah juga dalam aspek memilih cinta hati atau pasangan hidup kita. Agama perlu dijadikan panduan utama.
Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya: "Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya,maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, jagalah kesucian diri, simpanlah perasaan yang bersemi di hati, cinta Ilahi adalah cinta abadi. Islam, iman dan ihsan adalah aspek penting dalam memilih calon yang soleh dan solehah. Mohonlah doa dan keredhaan daripada Allah semoga dikurniakan seorang insan yang akan membuatkan kita bahagia di akhirat kelak nanti. Jadi, ingatlah, iman, ikhlas dan sabar adalah kunci kepada cinta yang suci.
Firman Allah SWT:

"Dan orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang yang bertakwa."
(Surah al-Furqan 25: Ayat 74)

Monday 11 June 2012

Hormatilah Gurumu

Guru adalah insan yang sangat besar jasanya kepada kita semua. Sebut sahaja perkataan guru, cikgu, mursyid dan apa jua yang sama dengannya, pasti akan terbayang difikiran seseorang yang mengajar ilmu, menunjukkan kesalahan, memberi nasihat, latihan dan panduan.

Pendek kata mereka adalah insan yang menunjukkan kita sesuatu ilmu yang membuatkan kita yang asalnya tidak tahu, menjadi tahu.  Tanpa guru siapalah kita pada hari ini. Jika kita bergelar doktor, peguam, jurutera dan saintis, itu semua adalah hasil daripada didikan guru-guru kita sejak kita tadika, sekolah dan universiti. Merekalah yang membentuk kita menjadi seperti sekarang.
Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajiban bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tau kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang ku peluk tadi. Badwi itu menerangkan bahawa anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.
Rasulullah s.a.w bersabda:

" Tidak termasuk umatku, orang yg tidak hormat orang tua, tidak mengasihi orang muda dan tidak mengiktiraf orang alim di antara kami." (Riwayat Ahmad)

Kebelakangan ini, pelajar kurang mengambil berat soal hormat-menghormati dengan guru. Sudah menjadi sesuatu yang biasa bagi pelajar yang melawan guru malah ada yang berani mencederakan guru yang mengajarnya ilmu. Hal ini amat bercanggah dengan adab pelajar dalam Islam. Saidina Ali juga pernah berkata, "Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepada ku." Tuan yang dimaksudkan oleh Saidina Ali adalah gurunya.
Terdapat banyak cara menghormati guru kita. Jika ilmuan terdahulu yang terkenal dengan ketokohan ilmunya menghormati guru mereka, maka mengapa kita yang tidak menjadi tokoh dan ilmuan berani melanggar adab berguru.

Adab ulama salaf dan ilmuan terdahulu dengan guru mereka ialah Mereka merendah diri terhadap ilmu dan guru dan sentiasa menurut perintah serta nasihat guru dan sentiasa meminta pendapat serta pandangan  guru dalam setiap urusan mereka.
Mereka mentaati setiap arahan serta bimbingan guru umpama seorang pesakit yang tidak tahu apa-apa yang hanya mengikut arahan seorang doktor pakar yang mahir. Mereka juga sentiasa berkhidmat untuk guru-guru mereka dengan mengharapkan keredhaan dan balasan pahala serta kemuliaan di sisi Allah s.w.t.

Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan "awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.

Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.

Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.
Begitulah hormatnya ulama' dan ilmuan Islam terdahulu. Disebabkan itulah mereka menjadi tokoh besar dan dihormati pula sehingga kini kerana mereka begitu menjaga adab dengan guru masing-masing. Semoga kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang menghormati guru. insyaAllah.

Manusia Mudah Lupa

'Hari ini, perjalanan hidupku bergerak seperti biasa ,bangun , solat subuh, bersiap dan bergerak ke tempat kerja. Lewat malam baru sampai ke rumah. Penat dan terus tidur.
Ya, itulah kehidupanku sehari-hari.  Hujung minggu, disi dengan kerja sambilan pula, berniaga membantu rakanku di gerainya. Cita-citaku tinggi, hendak menggapai harta yang banyak,  supaya hidupku senang di kemudian hari. Bukannya sekarang hidupku susah, entah , memang itu lumrah sikap seorang manusia, sentiasa tamak dan tidak pernah puas. Rutin harianku ini bergerak dari sehari ke sehari, seminggu hingga minggu yang lain, bulan ke bulan yang lain, hingga menginjak ke beberapa tahun.
Inilah dia kisah hidup seorang manusia, saya percaya,  jalan ceritanya tidak sama, pasti berbeza, tetapi rutin kehidupan yang tidak pernah berubah dari hari ke hari, pasti sama bagi sebahagian daripada kita. Jadi apa yang membezakan kita dari yang lain?
Persoalan itu yang akan cuba dirungkai dengan melihat konsep disebalik  satu perkataan iaitu 'nikmat'. Ya, nikmat, itulah perkataannya. Pernah tidak kita terfikir, bahawa segala yang berlaku dalam kehidupan kita adalah satu nikmat?  Pernah tidak kita duduk dan merenung berapa banyak nikmat yang Allah swt telah berikan kepada kita ?
 http://www.iluvislam.com/pic/AimiR/mia.jpg
Musibah satu nikmat jugakah ? Untuk menjawab persoalan ini,perlu ada satu refleksi pada diri kita sendiri , iaitu, adakah kita mengetahui apa yang terbaik untuk kehidupan kita? Ya, mungkin kita menganggap suatu musibah sebagai suatu bala, bencana, tetapi, mungkin itu sebenarnya suatu rahmat yang  Allah swt hendak berikan kepada kita.
Suatu contoh, sakit yang datang pada seseorang yang tidak pernah solat, lalu, baru pada ketika itu, dia mula mengingati yang maha esa, dan  berubah dari jauh, leka kepada menjadi  taat kepada Allah swt setelah sembuhnya. Maka, awalnya dianggap satu musibah berubah menjadi  satu kebaikan yang tidak terperi nilainya.
Oleh itu, setiap detik yang kita lalui,tidak kira baik atau buruk,  perlulah lahir rasa bersyukur dengan sentiasa merendah diri dan berusaha sebaik mungkin untuk taat  pada yang Maha Esa.  Jangan berputus asa dengan rahmat yang Allah swt berikan dan jangan sesekali menganggap sesuatu keburukan atau kecacatan itu sebagai sesuatu yang tidak sempurna. Pasti dan yakinlah bahawa setiap perkara itu ada hikmah dan kelebihannya yang kita sebagai manusia biasa memang tidak pernah akan mampu untuk berfikir akan  kebaikannya.
http://www.iluvislam.com/pic/AimiR/favim-com-9061.jpg
Sentiasalah memerhati mereka yang berada di bawah kita, maka pasti akan lahir rasa syukur. Kalau tiada makan hari ini, ramai lagi di luar sana, berhari-hari tiada makan dan minum,rasa  demam, pening kepala, ramai lagi yang menderita sakit yang teruk dan berterusan sakitnya.
Jika kita memerhati dan mengkaji nikmat ini kesemuanya, pasti tidak mampu untuk kita berfikir, kerana terlalu banyak nikmat yang Allah swt berikan dalam kehidupan kita sehari-hari. Akhirnya, jalan yang terbaik adalah kembali  berserah pada Allah swt, atas segala apa yang berlaku dalam hidup kita, moga-moga kita sentiasa dipimpin oleh Allah swt dalam meniti arus kehidupan di dunia yang sementara ini.
 
Hak Milik Cipta Terpelihara